Pahang forestry department should be more transparent over the state’s forest condition

29 January 2022

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Perlu Lebih Telus Mengenai Isu Hutan Di Pahang

Terdapat kekeliruan kenyataan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang pada mulanya menafikan berlakunya kegiatan pembalakan hutan di Bentong dan menjadi punca banjir di Pahang pada Disember lalu.

Baru-baru ini, hasil tinjauan orang awam mendapati ada permit pembalakan dipacak bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik di tapak tersebut yang berdekatan dengan Hutan Simpan Kuala Raka.

JPNP perlu lebih telus dengan tadbir urus mereka agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam mengenai status hutan yang terjejas sama ada secara sah atau sebaliknya.

Pada tahun 2021 dari Januari hingga November terdapat 68 kes pelbagai kesalahan melibatkan hutan yang direkodkan oleh JPNP.

Sebelum ini heboh isu pencerobohan tanah Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub, untuk penanaman durian telah dibongkar oleh JPNP setelah berpuluh tahun lamanya lokasi ini diceroboh.

Selain itu pencerobohan Tasik Chini untuk tujuan perlombongan pada 2019 menunjukkan kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa negeri sehinggakan kawasan itu berkemungkinan besar kehilangan status sebagai Rizab Biosfera UNESCO yang diperoleh pada tahun 2009 akibat pencemaran yang berlaku.

Ini jelas menunjukkan berlaku aktiviti pencerobohan kawasan hutan simpan yang berleluasa dan tidak dipantau rapat.

Justeru itu, kami meminta pihak JPNP tampil untuk mejelaskan keadaan sebenar yang berlaku. Kami juga menggesa Kerajaan Pahang lebih telus dalam menangani isu hutan di Negeri Pahang khususnya kawasan hutan yang diwartakan sebagai hutan simpan.

Oleh: Nor Hashimah Binti Ishak
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia