Projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah mengakibatkan gangguan bekalan air di kedah?

10 May 2022

Projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah mengakibatkan gangguan bekalan air di kedah?

Masalah bekalan air di Kedah boleh dikatakan tiada penghujung. Anggaran sebanyak 75,000 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) di daerah Kota Setar dan Pokok Sena mengalami bekalan air berikutan kejadian ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan terusan tengah pecah di Pokok Sena semalam. Begitu juga, pada bulan ramadan yang lalu, penduduk Taman Malinja di Semeling telah menghadapi masalah gangguan bekalan air selama sebulan. Kehidupan penduduk tempatan semakin tidak terjamin.

Isu gangguan sumber bekalan air yang sering berlaku di negeri Kedah masih belum dapat diselesaikan. Mengapa kerajaan negeri Kedah tergesa-gesa melaksanakan projek-projek yang akan menjejaskan sumber air di Sungai Muda?

Sejak dua tahun lepas, isu pencemaran alam sekitar dan gangguan bekalan air di Kedah menjadi topik hangat dan telah tarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat. Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi mengatakan bahawa kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk mengatasi masalah Air Tidak Terhasil (NRW) di negeri Kedah.

Pada tahun 2020, EXCO Bekalan Air, Sumber Asli dan Kerja Raya Kedah, Dato Suraya Binti Yaacob turut menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah NRW. Namun, dua tahun kemudian kenyataan yang sama telah diulangi semula oleh Menteri Besar Kedah. Perkara yang paling mengecewakan adalah apabila indeks NRW telah meningkat daripada 46.7% pada tahun 2016 kepada 50% sekarang.

Infrakstruktur bekalan air di Kedah dilihat telah ketinggalan 10 tahun kebelakang. Kebocoran air akibat daripada saluran paip air lama, loji rawatan air (LRA) yang telah lama tidak melakukan penyenggaraan menyebabkan gangguan bekalan air. Faktor-faktor ini mendorong kehidupan penduduk tempatan dan peniaga terjejas.

Berdasarkan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Projek Pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) bersebelahan tebing Sungai Muda, kemungkinan besar akan menyebabkan saluran air sungai tersumbat, pencemaran air dan tanah turut menjejaskan bekalan air semasa fasa pembinaan. Bukan setakat itu sahaja, kualiti air di Sungai Muda berpotensi tinggi akan terjejas akibat daripada aktiviti lapangan terbang dijalankan.

Selain itu, penerokaan mineral elemen nadir bumi (REE) berskala besar di kawasan tadahan Ulu Muda termasuk Sik dan Baling di Kedah mendapat permit yang diluluskan oleh Kerajaan Kedah. Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Kesemua aktiviti perlombongan, pembalakan dan penerokaan tanah secara besar-besaran akan memberi kesan buruk terhadap Sungai Muda. Ia juga akan menjejaskan bekalan air dan mengancam 4.2 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak seimbang dengan kelestarian alam sekitar semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan mampan tidak dapat direalisasikan.

Justeru, Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia (SMA) menyeru kerajaan dan pihak berkenaan memandang serius terhadap isu bekalan air di Kedah supaya kehidupan penduduk terjamin serta memastikan sumber air tidak terjejas semasa membangunkan ekonomi.

Boey Suet Yee
Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Mampan