Krisis air Kelantan yang tiada kesudahan

11 February 2022

Krisis air Kelantan yang tiada kesudahan

Penduduk Kelantan sering menghadapi masalah bekalan air sejak lama dan kini pula timbul isu air bersih yang telah menyebabkan perniagaan kedai makanan dan kehidupan penduduk tempatan terjejas.

Beberapa hari yang lepas, penduduk di sekitar Kota Bharu telah membuat aduan bahawa mereka telah mengalami isu bekalan air paip yang disalurkan oleh Air Kelantan Sdn Bhd.

Sumber air bersih merupakan hak paling asas untuk setiap pengguna. Ia merupakan Matlamat Pembangunan Mampan ke-6 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hampir 30 peratus atau 500,000 penduduk Kelantan berada dalam keadaan penderitaan kerana tiada akses bekalan air bersih dan berkualiti.

Kini, masalah bekalan air bersih telah menjejaskan perniagaan kedai-kedai makan dan penduduk di sekitar bandar Kota Bharu. Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan tetapi masih menghadapi masalah air bersih telah dipandang negatif oleh ramai pihak.

Kadar tarif air di Kelantan antara yang paling murah dalam Malaysia. Tetapi sekiranya penduduk tempatan tidak dapat akses air bersih apa gunanya kadar tarif yang murah?

Bekalan air yang kurang bersih juga akan menjejaskan kualiti kesihatan manusia. Oleh sebab itu, Kerajaan Kelantan harus memandang serius isu bekalan air bersih di Kelantan, supaya hak dan kesihatan pengguna di Kelantan terjamin.

 

WONG YI HAO (from Kelantan)
Ahli Jawatankuasa