
Ketiadaan air akibat 6 buah rumah di Berek 12 Kota Bharu terbakar?
Dua hari lepas, satu kejadian di mana enam buah rumah terbakar berlaku di Berek 12, Kota Bharu. Menurut laporan, pada awalnya hanya sebuah rumah terbakar dan kemudian merebak sehinggakan enam buah rumah telah musnah.
Seorang penduduk yang terbabit telah menularkan kejadian ini melalui media sosial Facebook, dan telah menceritakan keadaan pada ketika itu. Pihak kami difahamkan ketiadaan air menyebabkan pihak bomba tidak dapat memadamkan api dalam masa yang singkat.
Ketiadaan air bukan lagi perkara baru di Kelantan. Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, ketiadaan air itu telah menjadi perkara biasa untuk rakyat Kelantan. Saya merupakan anak kelahiran negeri Kelantan tidak pernah nampak usaha kerajaan untuk mengatasi masalah ini walaupun kita berada dalam abad ke-21.
Bagaimana kerajaan negeri boleh menjamin kemajuan negeri sekiranya sumber air sumber paling asas kepada kita pun tidak dapat dijamin?
Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita bahawa air adalah begitu penting terutamanya pada waktu kecemasan. Sekiranya di kawasan kejadian mempunyai air, mungkin beberapa buah boleh diselamatkan. Ketiadaan air menyebabkan proses memadamkan api menjadi lambat.
Menurut Matlamat Pembangunan Mampan Ke-6 yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah memastikan kecapaian dan pengurusan mampan air dan sanitasi kepada semua.
Oleh itu, pihak kami menyeru Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius terhadap perkara ini dan mengambil kejadian ini sebagai iktibar. Sebagai rakyat Kelantan, saya berharap kerajaan negeri boleh memastikan hak rakyat terjamin kerana sumber air merupakan hak paling asas kepada rakyat.
WONG YI HAO
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia