Kelembapan pembangunan: Kerajaan Negeri Kelantan tidak mampu membina terminal bas yang elok

19 May 2022

Kelembapan pembangunan: Kerajaan Negeri Kelantan tidak mampu membina terminal bas yang elok

Dua hari lepas, seorang netizen telah meluahkan perasaan beliau setelah melihat keadaan Stesen Bas Sementara Kota Bharu yang terletak di Lembah Sireh, Kelantan. Beliau telah mengibaratkan stesen bas itu seperti “kandang lembu”.

Stesen bas sementara ini dipercayai telah beroperasi sejak 10 tahun yang lepas. Malangnya, Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan tetapi tidak mempunyai satu terminal bas yang dapat memaparkan Kota Bharu bertaraf bandar raya. Pengguna pengangkutan awam semestinya terdiri daripada rakyat Kelantan dan pelancong dari luar negeri. Kelembapan pembangunan Kelantan ini telah memberi satu pandangan buruk orang luar terhadap Kelantan.

Sejak tahun 2020, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Bahagian Pelaburan Kelantan telah megeluarkan notis pelawaan untuk mengemukakan request for proposal (RFP) bagi tujuan pembangunan sebuah Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Bandar Baru Tunjong.

Projek ini dijangkakan bermula pada tahun 2021 tetapi sehingga kini selepas setahun, rakyat Kelantan masih tidak nampak sebarang perkembangan yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri. Oleh itu, kerajaan harus sentiasa peka terhadap pembangunan negeri dan memahami keperluan rakyat Kelantan.

Tahap kemunduran Kelantan bukan hanya orang luar sahaja nampak tetapi rakyat Kelantan sendiri pun sedar. Rakyat Kelantan menginginkan pembangunan tetapi pemimpin-pemimpin kerajaan negeri sentiasa bersikap acuh tak acuh.

Salah satu, matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals) yang telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam matlamat 11 adalah menjadikan bandar dan petempatan manusia menyeluruh, selamat, kukuh dan mampan.

Oleh sebab itu, Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia (SMA) menyeru Kerajaan Negeri Kelantan agar membangunkan negeri itu berasaskan matlamat yang digariskan oleh PBB supaya Kelantan mencapai standard bandar raya yang maju.

Wong Yi Hao
Ahli Jawatankuasa