
Penerokaan hutan punca banjir di Baling dan jejaskan bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang?
Penerokaan hutan yang dibuat secara besar-besaran dekat dengan Hutan Simpan Gunung Inas yang menjadi lokasi projek tanaman musang king perlu dikaji adakah projek tersebut salah satu faktor penyumbang kepada kejadian banjir yang melanda Baling Kedah pada Isnin lalu?
Walaupun tiada kenyataan dikeluarkan punca sebenar banjir ini berlaku, namun aktiviti penerokaan hutan ini perlu diberi perhatian setelah pelbagai kesan yang dihadapi penduduk setelah projek ini dijalankan.
Penduduk kampung di situ telah membantah projek ini kerana mulai merasai kesan buruk akibat penerokaan di gunung ini. Gambar-gambar satelit menunjukkan kesan penerokaan yang telah berlaku di Baling.
Antara kejadian yang dialami penduduk setempat ialah banjir lumpur setiap kali hujan lebat, pencemaran bekalan air bukit, habitat haiwan terancam dan banyak lagi yang perlu ditanggung penduduk setempat.
Tambah parah lagi kesan banjir kali ini telah menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang.
Situasi ini berlaku disebabkan air di Sungai Muda terlampau keruh dan tidak dapat dipam masuk ke loji. Akibatnya, lima loji rawatan air milikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terpaksa dihentikan.
Manakala Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan bahawa loji rawatan air Sungai Dua juga terpaksa berhenti beroperasi bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan setelah berlaku kekeruhan pada air mentah yang dipam dari Sungai Muda.
Jika risiko banjir dipandang serius dan suara bantahan penduduk didengari oleh pihak berwajib sudah tentu kejadian tidak diingini ini mungkin boleh dibendung dari awal.
Nampaknya kita masih tidak mengambil iktibar atas beberapa siri banjir besar yang melanda negara sepanjang tahun ini yang hampir kesemuanya berpunca dari aktiviti penerokaan hutan secara besar-besaran.
Kami menggesa pihak berwajib segera menyiasat kejadian ini secara terperinci agar tiada lagi kebenaran untuk aktiviti penerokaan hutan sewenang-wenangnya yang boleh meyebabkan kejadian ini berulang.
Oleh: Nor Hashimah Binti Ishak
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia
Sumber:
- https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=161160
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bekalan-air-terputus-penduduk-p-pinang-buat-pembelian-panik-air-mineral-369890
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-baling-siasatan-terperinci-perlu-dijalankan-terhadap-risiko-tandak-takungan-air-mb-kedah-369888
- https://www.facebook.com/SADAKEDAH/posts/pfbid02S41qdGGHoAFb3JSUuwYtogV6X2f84G53RHF2VVHvqPmR6PyFSKrJsTp2BCdP16YRl